Pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Media UITM Shah Alam, Muhammad Fahmi Mohd Hanafiah 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh teman wanitanya dua minggu lalu
SHAH ALAM 28 Okt. - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya yang merupakan seorang kerani akaun, dua minggu lalu.
Muhammad Fahmi Mohd. Hanafiah, 25, penuntut tahun akhir program Komunikasi Media didakwa membunuh Haryati Harun, 44, di tangga tingkat 6, Blok A, Pangsapuri Kristal Height, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 2.10 pagi, 15 Oktober lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.
Muhammad Fahmi berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Norul Izzah Abdul Mutalib manakala tertuduh diwakili peguam, S. Selvam.
Sementara itu, Selvam memberitahu mahkamah, anak guamnya telah dikasari dan dipaksa memberi keterangan secara tidak rela oleh anggota polis semasa dalam lokap sepanjang tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.
Justeru beliau memohon agar aduan anak guamnya didengar di mahkamah mengikut Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah.
Norshakinah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 20 November ini.
Pada 16 Oktober lalu, akhbar melaporkan Haryati yang masih bujang ditemui mati dengan berlumuran darah di tangga tingkat enam pangsapuri tersebut.
Muhammad Fahmi yang dipercayai individu terakhir bersama mangsa sebelum ditemui mati telah ditahan di hadapan Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini beberapa jam kemudian semasa menziarahi jenazah kekasihnya.
Menurut polis, mangsa dipercayai tinggal di pangsapuri itu, mati akibat lima tikaman dengan benda tajam.- UTUSAN
0 comments: