KUALA LUMPUR - CUEPACS mendedahkan, lebih 60% penjawat awam golongan muda menjadi mangsa penipuan pelbagai kes sejak beberapa tahun yang lalu.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, antara kes penipuan itu termasuk pembelian rumah tidak siap, kad kredit, sindiket gores dan menang serta MLM.
Faedah yang dimiliki oleh penjawat awam seperti kemudahan membuat pinjaman peribadi di bank dan urusan dokumentasi menyebabkan golongan itu sering menjadi sasaran penipuan.
Sejak beberapa tahun dulu, CUEPACS banyak menerima aduan berhubung penjawat awam menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Fenomena ini dilihat semakin ketara, sudah tiba masanya satu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
Sebagai contoh, sebanyak 477 penjawat awam telah menjadi mangsa penipuan projek perumahan yang melibatkan sebuah syarikat hartanah pada 2011.
Sehingga kini rumah yang dijanjikan masih belum siap, namun kesemua mangsa telah membuat pembayaran hampir 90% dari harga rumah yang telah ditetapkan. Pelbagai alasan yang diberikan oleh syarikat pemaju, namun hasilnya masih kosong.
CUEPACS berharap, kes-kes seperti ini mendapat perhatian dari kerajaan agar tiada pihak yang teraniaya dan tidak hanya tertumpu kepada penjawat awam semata-mata.
Secara purata, seramai 78 pengguna menjadi mangsa penipuan pelbagai kes dalam sehari dan menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat pada masa hadapan jika tidak dibendung.
0 comments: