MELAKA 15 Jan. – Seorang gadis yang terkandas di Pakistan selepas pergi ke negara itu bersama beberapa individu sejak Ogos tahun lalu merayu supaya dia dibawa pulang ke tanah air.
Nur Quranie Muhammad Shahpiie, 21, memaklumkan perkara tersebut ketika menghubungi keluarganya pada 6 Januari lalu selepas sepi tanpa berita sejak meninggalkan rumahnya di Merlimau di sini, kira-kira lima bulan lalu.
Ibu mangsa, Normah Omar, 54, memberitahu, dua bulan selepas keluar dari rumah, seorang wanita yang juga majikan Nur Quranie dikenali sebagai Ina menghubunginya dan memberitahu bahawa anaknya berada di Pakistan.
“Dia juga memberitahu bahawa telah mengahwinkan anak saya dengan teman lelaki yang juga rakan sekerja Nur Quranie yang dikenali sebagai Majid.
“Selepas itu kami tidak dapat apa-apa maklumat mengenai Nur Quranie sehingga anak saya menghubungi kami minggu lalu,” katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di Ayer Keroh di sini hari ini.
Menurut Normah, selepas berjaya menghubungi keluarga, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu memberitahu, dia dan Majid dibawa ke Denur, Pakistan oleh Ina serta keluarganya tetapi selepas beberapa bulan, majikannya itu meninggalkan dia di sana bersama Majid.
“Anak saya beritahu hendak balik ke Malaysia. Dia tidak mahu tinggal di sana kerana takut,” katanya.
Jelasnya, anaknya turut meminta keluarga menghantar wang kepadanya untuk membolehkan dia pulang ke Malaysia tetapi dia tidak berbuat demikian kerana bimbang anaknya ditipu.
“Oleh sebab itu kami datang menemui Pembela BN supaya dapat bantu bawa pulang Nur Quranie ke negara ini semula,” katanya.
Normah memberitahu, ketika ini dia hanya bimbangkan keselamatan anaknya itu dan berharap agar Nur Quranie dapat kembali dengan selamat.
“Status perkahwinan dengan Majid dan perkara lain akan cuba diselesaikan dengan baik selepas anak saya selamat balik ke sini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz memberitahu, pihaknya akan menghubungi Pejabat Kedutaan Malaysia di Pakistan untuk mengesan kedudukan Nur Quranie di sana.
“Kita akan cuba sedaya upaya supaya mangsa dapat dibawa pulang dengan segera,” katanya.
0 comments: