Jakarta: Seorang warga emas mendakwa, dia boleh bertelur sejak 1998 dan setakat ini tiada siapa tahu punca fenomena itu.
Kata Sinin, 62, polis juga pernah menyoal siasat - dan mengambil telurnya - selepas penduduk setempat kecoh mengenai ‘kelebihan’ dimilikinya.
“Mula-mula telur itu keluar dari dubur saya tiga bulan sekali, tetapi kini saya bertelur lebih kerap,” katanya.
Kini menetap di Penjaringan di Jakarta Utara, Sinin berkata, sehingga kini menurutnya, dia sudah mengeluarkan 202 biji telur, termasuk 100 biji yang keluar pada tahun 2000.
Kata Sinin, sesetengah telurnya dibuang begitu saja, manakala sebahagian lagi diberi kepada sesiapa yang berminat.
Menceritakan pengalamannya bertelur, Sinin berkata, mula-mula dia berasa sakit seperti memulas pada perut.
Lama-kelamaan, menurutnya, dia akan mengeluarkan telur melalui proses sama seperti orang membuang air besar.
Sehingga kini Sinin masih bingung untuk menjelaskan bagaimana kejadian itu berlaku.
“Cuma dulu saya pernah bermimpi ada seseorang memberi saya telur.
“Tiba-tiba saya boleh bertelur,” katanya.
Bagaimanapun, telur Sinin yang mirip seperti telur ayam tidak boleh keras apabila direbus.
Anak Sinin, Sunarto, 40, berkata dia pernah cuba merebus telur bapanya tetapi selepas satu jam, ia kekal seperti asal.
0 comments: