Kuala Lumpur: "Saya hanya manusia biasa yang tidak sempurna. Jadi, saya mengaku tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
"Apa yang berlaku pada saya beberapa bulan lalu cukup mematangkan diri. Banyak yang saya pelajari.
"Pun begitu, saya ingin tegaskan sama sekali tidak pernah melarikan diri untuk memberi penjelasan. Cuma, ketika itu masanya tidak sesuai," kata penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.
Tanpa berselindung, Aliff, 23, tampil memberi penjelasan berhubung beberapa isu yang berhubung kait dengan dirinya pada sesi pradengar album barunya, Rebirth yang akan berada di pasaran sekitar pertengahan Januari 2015 nanti.
Antara yang dibangkitkan pastinya isu dia lari meninggalkan set penggambaran drama dan paling mengejutkan isu ditahan pihak berkuasa Singapura di atas dakwaan mencuri telefon bimbit.
Kata Aliff, dia terpaksa mengaku mencuri telefon bimbit itu dan membayar denda atas nasihat penguam belanya.
"Saya mengaku (mencuri) itu pun dan setuju membayar denda kerana tidak mahu kes itu berlarutan lebih lama. Banyak urusan kerja saya tertangguh," katanya.
Menurut Aliff, undang-undang di Singapura amat ketat.
Katanya jika dia tidak mengaku salah, kes itu akan berlarutan dalam tempoh agak lama. Jadi, Aliff enggan membazirkan masanya lagi.
Turut mengambil peluang meminta maaf kepada pihak produksi drama terbabit di atas segala yang berlaku, Aliff berkata, dia hanya mahu memohon maaf.
Memaklumkan dia juga tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada proses pembikinan album barunya yang sudah tertangguh agak lama.
Aliff berkata, disebabkan semua masalah yang berlaku itu, banyak urusan kerjanya tergendala. Justeru, kini fokusnya hanya pada karier nyanyian yang menjadi keutamaannya.
0 comments: